Lampu kereta bukan sekadar hiasan – ia sangat penting untuk keselamatan, terutamanya ketika memandu waktu malam atau cuaca buruk seperti hujan lebat. Ada pelbagai jenis lampu kereta perlu diketahui setiap pemandu dan mesti memastikan lampu kereta dalam keadaan baik untuk membantu anda dan pengguna jalan lain lebih peka terhadap keadaan sekeliling.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan jenis-jenis lampu kereta yang biasa ada pada setiap kenderaan dan fungsinya masing-masing.
Lampu Utama(Headlights)

Lampu utama terdiri daripada dua jenis:
- Lampu rendah (low beam): Digunakan semasa pemanduan waktu malam biasa. Ia menerangi jalan tanpa menyilaukan kenderaan dari arah bertentangan.
- Lampu tinggi (high beam): Sesuai digunakan di jalan gelap dan sunyi. Elakkan guna lampu tinggi jika ada kereta dari arah bertentangan kerana ia boleh menyilaukan dan membahayakan pandangan mereka.
Lampu Belakang (Taillights)

Apabila lampu utama dihidupkan, lampu belakang berwarna merah juga akan menyala secara automatik. Fungsinya adalah:
- Membantu pemandu lain mengenal pasti kedudukan kereta anda dari belakang.
- Membantu mengekalkan jarak selamat antara kenderaan.
Lampu Brek (Brake Lights)

Lampu brek menyala apabila anda menekan pedal brek. Ia sangat penting kerana:
- Memberi amaran kepada pemandu belakang bahawa anda sedang memperlahankan kenderaan atau akan berhenti.
- Mengurangkan risiko perlanggaran dari belakang.
Lampu Siang (Daytime Running Lights)

Lampu ini menyala secara automatik apabila enjin dihidupkan. Ia tidak menggantikan lampu utama kerana:
- Ia tidak menyalakan lampu belakang.
- Fungsinya adalah membantu kenderaan lain nampak anda dengan lebih jelas pada waktu siang.
Lampu Isyarat (Turn Signal Lights)

Lampu isyarat sangat penting ketika anda mahu membelok atau menukar lorong. Gunakan lampu isyarat untuk:
- Mengelakkan kemalangan akibat tindakan mengejut.
- Memastikan pengguna jalan lain tahu arah pergerakan anda.
Lampu Kabus (Fog Lights)

Lampu ini biasanya terletak lebih rendah daripada lampu utama. Ia digunakan semasa:
- Keadaan berkabus, hujan lebat, jerebu, atau ribut.
- Memberikan pencahayaan jelas tanpa pantulan yang menyilaukan.
Nota: Lampu kabus lebih terang daripada lampu biasa – guna secara bertanggungjawab.
Lampu Undur (Reverse Lights)

Apabila gear undur digunakan, lampu undur menyala secara automatik. Tujuannya:
- Memberi isyarat kepada pemandu dan pejalan kaki bahawa kenderaan anda sedang berundur.
Lampu Kecemasan (Hazard Lights)

Lampu kecemasan berkelip di kedua-dua belah kanan dan kiri. Ia digunakan untuk:
- Menandakan bahawa kenderaan anda mengalami masalah atau kecemasan.
- Memberi amaran kepada pengguna jalan tentang bahaya di hadapan anda.
Lampu Dalaman (Interior Lights)

Lampu ini berada di dalam kenderaan dan digunakan semasa:
- Mahu mencari barang dalam kereta ketika gelap.
- Lampu biasanya malap supaya tidak mengganggu penglihatan pemandu lain.
Peringatan: Pastikan lampu ini dimatikan selepas digunakan bagi mengelakkan bateri kereta habis.
Gunakan Lampu Dengan Betul, Pemanduan Lebih Selamat
Walaupun nampak mudah, ramai yang masih keliru atau tidak tahu fungsi sebenar setiap lampu kereta. Sebagai pemilik kenderaan, penting untuk anda faham dan guna setiap lampu dengan betul – bukan sahaja untuk keselamatan diri, tetapi juga untuk kesejahteraan pengguna jalan raya lain.